Gerakan-gerakan militan abad ke-20 Islam_Militan

Supaya dapat memahami asal gerakan-gerakan Islam, adalah lebih elok bahawa peranan Tariqah dalam penyebaran Islam, serta juga dua buah gerakan yang lain dipertimbangkan lebih dahulu. Kedua-dua gerakan tersebut ialah gerakan Deobandi dan gerakan faham Wahab yang tidak dianggap sebagai militan mahupun radikal, tetapi telah mempengaruhi tokoh-tokoh utama dalam falsafah Islam moden serta juga peristiwa-peristiwa taktik yang melahirkan rasional untuk Islam Militan moden. Untuk pengolahan gagasan-gagasan tersebut yang lebih luas dalam konteks, sila lihat falsafah Islam moden. Terdapat juga sebuah gambaran keseluruhan yang lebih menyeluruh tentang Islam sebagai sebuah gerakan politik yang tidak menumpukan perhatian kepada para militan mahupun kepada ideal-ideal mereka yang khusus.

Gerakan Deobandi

Di India, gerakan Deobandi berkembang sebagai satu gerak balas terhadap penindasan orang-orang Muslim oleh pihak British, serta juga pengaruh Sayed Ahmad Khan yang menyokong reformasi dan pemodenan Islam. Dinamai sempena nama bandar Deoband yang merupakan tempat lahir gerakan ini, Gerakan Deobandi diasaskan di sekitar sekolah-sekolah Islam (khususnya, Darul Uloom), dan mengajar suatu pentafsiran Islam yang menggalakkan kaum wanita menurut perintah, dengan banyak bentuk teknologi dan hiburan tidak digalakkan. Mereka hanya mempercayai bahawa wahyu dan bukannya pengetahuan manusia harus dipatuhi.

Walaupun falsafah Deobandi amat bersifat dakwah dan ingin menyingkirkan pengaruh bukan Muslim (iaitu Hindu atau Barat) daripada masyarakat-masyarakat Muslim, ia tidak terlalu ganas mahupun tidak begitu agresif dalam kegiatan menarik orang ramai menjadi penganut baru. Sebaliknya, mereka membatasi kegiatan-kegiatan mereka, terutamanya dalam pembinaan madrasah.

Madrasah-madrasah ini kini berjumlah sebanyak berpuluh-puluh ribu di seluruh Asia, khususnya di Pakistan dan India, dengan kesemua ini masih merupakan teras gerakan Deobandi. Ahli-ahli Deobandi merupakan sebahagian masyarakat Muslim yang besar di kawasan tersebut, dengan pengikut-pengikut Sayed Ahmad Khan merupakan golongan minoriti yang bererti. Gerakan Taliban di Afghanistan adalah salah satu hasil daripada falsafah dan madrasah Deobandi.

Istilah "madrasah" merupakan sepatah istilah yang boleh mengelirukan kerana ia boleh merujuk kepada apa-apa sahaja dari kolej Bible Amerika sehingga kem latihan pengganas. Serupa juga, istilah "taliban" yang membawa pengertian "murid" juga boleh mengelirukan dalam sesetengah keadaan.

Sayyid Abul Ala Maududi

Sayyid Abul Ala Maududi ialah seorang tokoh awal abad ke-20 yang penting di India, dan kemudiannya di Pakistan selepas kemerdekaan daripada Britain. Amat dipengaruhi oleh ideologi Deobandi, beliau menyokong penciptaan sebuah negara Islam yang diperintah oleh Syariat Islam, sebagaimana ditafsirkan oleh majlis-majlis Syura. Maududi mengasaskan gerakan Jamaat-e-Islami pada tahun 1941 dan merupakan ketuanya sehingga tahun 1972. Menuju Pemahaman Islam (bahasa Arab: Risalat Diniyat), bukunya yang amat berpengaruh, menempatkan Islam dalam konteks moden sebagai suatu peluasan hukum alam. Sudut pandangan yang radikal ini membolehkan bukan sahaja para ulama konservatif tetapi juga para penyokong pemodenan liberal seperti al-Faruqi menyertai gerakannya. Karya al-Faruqi yang berjudul Pengislaman Pengetahuan mengandungi sebilangan prinsip utama Maududi, terutamanya kesesuaian asas antara Islam dengan sudut pandangan etika dan sains. Memetik dari karya Maududi sendiri:

Segala-galanya di dunia ini merupakan 'Muslim' kerana semuanya mematuhi Tuhan dengan berserah kepada hukumNya... Kerana dalam seluruh hidupnya, dari peringkat embrionik hinggalah hancurnya badan menjadi debu selepas mati, setiap tisu ototnya dan setiap anggota badannya mengikut laluan yang telah ditetapkan oleh hukum Tuhan. Lidahnya sendiri, yang disebabkan oleh kejahilannya menafikan Tuhan atau mengakui berbilang tuhan, sebenarnya merupakan 'Muslim'... Orang yang menafikan Tuhan dipanggil Kafir (penyembunyi) kerana dia menyembunyikan dengan rasa tidak percayanya apa yang merupakan tabiinya dan diawet dalam rohnya. Seluruh badannya berfungsi menurut naluri tersebut... Realiti menjadi renggang daripadanya dan dia meraba-raba di dalam gelap.

Tersirat dalam sudut-sudut pandangan ini ialah sikap tidak bertoleransi tentang pemerintahan orang bukan Muslim terhadap orang Muslim kerana orang bukan Muslim, menurut tafsiran Maududi, memang tidak berupaya memahami hukum alam — jika mereka faham, mereka sudah menjadi orang Muslim.